REAKSI individu yang melatah adalah pelbagai. Ada yang menari, melompat, mengeluarkan kata-kata kesat, lucah, kotor, meniru aksi orang di sekeliling atau sebagainya. Tingkah laku itu mungkin dianggap satu bentuk hiburan kepada orang lain.

Bahkan, sesebuah majlis perkahwinan atau kenduri kendara seakan-akan hilang serinya tanpa gelagat mereka yang melatah.

Semakin diusik atau disergah, semakin rancak mereka melatah.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang (biasanya wanita) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat.
Ironinya, ramai yang menyangka latah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina.

Penulis buku American Normal: Hyperstartle Syndrome, Lawrene Osborne pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah (hyperstartle syndrome).


Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial.


Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak.

Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori.

“Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut,” jelasnya.

Biasanya, sistem limbik beroperasi apabila terganggu dengan sistem endokrin dan sistem saraf. Ia merupakan sistem kompleks lintasan saraf dan jaringan dalam otak yang melibatkan naluri dan hati.

Namun, Azhar berkata, sindrom melatah pada hari ini semakin berkurangan jika dibandingkan era 30 hingga 40 tahun yang lalu.

Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain.

“Jangan ganggu orang melatah kerana mereka akan keletihan memandangkan segala tindak-tanduk yang dilakukan mereka adalah di luar kawalan,” katanya.


Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh pula, menasihati orang ramai supaya jangan mengganggu atau menyergah orang melatah.

Ini kerana mereka akan mengalami kepenatan sehingga tidak bermaya. “Apabila berada dalam keadaan sedar, kita mampu mengawal pergerakan tetapi tidak ketika melatah,” tambah Dr. Nor Hamidah.