KESEMPATAN

Cuti Tahun Baru Cina aku balik ke kampung. Cuti tak lama...sekangkang kera je cuti nya(2 ari). Apa yang penting, pengisiannya..kan??Aku balik kampung hari Ahad dan pulang ke sini hari Selasa. Sampai ke kampung , hujan turun mencurah-curah menyambut kepulanganku. Kata orang, menjelang Tahun Baru Cina mesti hujan dulu (betul ke tidak aku tak tahu la).


Hari Isnin, aku berusaha menyiapkan surat perjanjian. Alhamdulillah...semuanya dah selesai sekarang. Pada petang itu aku menghadiri satu majlis pertunangan sepupuku dan aku bersama dengan rombongan pihak lelaki( inilah yang pertama bagi aku) dan apa yang pasti upacara merisik dan bertunang memang amat membosankan...!!.


Sebenarnya aku punya kerja untuk dibuat; menyoal kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun dan murid-murid darjah satu. Aku dah tak tahu nak pinjam anak siapa lagi sebab kebanyakan penduduk kampungku tiada yang ber'anak' kecil. Nasib petang itu, sepupuku yang tinggal di Bentong datang kerumahku. Aku mengambil kesempatan itu untuk meminjam anaknya untuk dijadikan bahan ujikajiku...hehehe.


Apa yang pasti aku memang tension nak menemubual budak ni...banyak soal pula tu..!!kalau tak kerana Umminya ada sekali, memang kena dengan aku.


Proses pengujian itu berlaku selama beberapa ketika dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kesimpulan yang boleh aku buat berdasarkan ujian yang dilakukan tadi ialah anak sepupuku ini sukar untuk menyebut perkataan yang mempunyai KKV sperti SKRU, STRAW, SKRIP serta bunyi VOKAL I contohnya LI disebut sebagai LAI(dah macam anak orang putih dah ni). Apa pun kemahiran membaca masih ditahap sederhana.


Baru aku tahu, rupanya sukar juga nak mengajar kanak-kanak yang sebegini. Mungkin ini baru langkah awal yang perlu aku hadapi sebelum aku menghadapi keadaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Ucaplah....

Saya seringkali kemana-mana dengan menaiki bas, maklumlah nak bawa moto tak ada lesen, jadi kena la naik bas. Apa yang saya nak kongsi disini bukan tentang saya naik bas tapi berkenaan dengan segelintir penumpang bas.


Mereka ini dahlah nak naik bas pun berebut-rebut, bila nak turun sepatah "Terima Kasih" pun payah dah ucapkan kepada pemandu bas tu. Inilah yang menunjukkan sikap kita bagaimana. Walaupun, perkara itu nampak seperti remeh tetapi sebenatnya membawa makna yang besar kepada orang yang menerimanya. Ucapan terima kasih sebenarnya bermaksud kita menghargai orang yang membantu kita.


Sebenarnya saya ada kisah yang hendak dikongsikan bersama. Pada semester pertama bagi sessi 2006/2007 yang lalu, saya ada mengikuti satu rombongan sambil belajar ke HUKM yang dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah. Untuk ke sana kami menaiki bas yang disediakan, akan tetapi bas berkenaan lewat dari yang dijadualkan. Ada sebahagian pelajar yang marah-marah kepada pemandu bas berkenaan.


Apabila kami mula duduk dalam bas berkenaan, pemandu bas berkenaan mula 'berceramah' kepada kami berkenaan dengan sikap sebahagian pelajar yang menaiki bas. Dia mula bercerita bahawa tidak ramai dikalangan pelajar yang prihatin terhadap pemandu bas. Dia mengatakan ada di kalangan yang menaiki bas bersikap 'kurang ajar' terhadap pemandu. Memang sukar untuk mencari seorang yang berbudi bahasa, katanya. Saya yang sememangnya berada betul-betul dibelakang pemandu berkenaan hanya diam membisu. Memang apa yang dikatakan oleh pemandu berkenaan ada benarnya.

Kebanyakan dari kita hanya tahu meminta tetapi tidak tahu berterima kasih. Begitulah juga sifat sebahagian manusia yang hanya tahu meminta dari Allah apabila di dalam kesusahan akan tetapi seakan-akan melupakan Allah apabila telah memperoleh apa yang diinginkan, sedangkan Allah tidak pernah walau sekalipun melupakan kita.


Pendidikan Khas

Bidang pendidikan Khas merupakan satu bidang yang mencabar dalam profession perguruan di Malaysia. Tidak ramai di kalangan guru-guru yang sanggup untuk berhadapan dengan cabaran ini. Walaubagaimanapun, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif dengan memberikan elaun khas kepada guru-guru yang sanggup berkorban untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada pelajar yang berkeperluan khas.
Oleh itu, satu Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas diwujudkan bagi menghargai jasa guru-guru berkenaan. Anugerah ini bertujuan untuk menggalakkan ramai lagi yang berkecimpung dalam bidang ini. Selain itu, anugerah ini adalah untuk menggalakkan guru-guru berkenaan lebih kreatif dan inovatif.
Ini juga merupakan satu pengiktirafan dari kementerian yang menyedari bahawa tugas ini bukan sesuatu yang mudah kerana bukan hanya mengajar melalui membaca buku akan tetapi perlu pelbagai pengalaman dan ini menjadikan guru Pendidikan Khas lebih istimewa berbanding dengan guru-guru yang mengajar pelajar yang tipikal.
Selain itu, bukan sesuatu yang mudah untuk mengajar pelajar yang berkeperluan khas kerana mereka menghadapi pelbagai masalah selain masalah yang dihadapi. Oleh itu, apakah salahnya kita yang sememangnya diberi kelebihan oleh Allah ini, untuk membantu mereka yang sebegini.
P/S: Segala yang diciptakanNya adalah untuk manusia memikirkannya..

Mukadimah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua


Ini kali pertama selepas blog yang pertama telah ter 'delete' dengan tidak sengaja. Oleh itu, teruskan bersama saya.

Jumpa lagi....