salam permulaan bagi semester 2 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah UKM.Satu permulaan yang agak baik bagi semester ini kerana pada semester ini, kelas hanya waktu siang hari sahaja. Ini tidak bermakna kami boleh bersenang-senang, hari pertama melangkah ke kelas sudah diberi 'bekal'.

Seperti semester yang lalu, pada kali ini kami, pelajar LD akan ke sekolah seperti biasa. Tetapi akan ke sekolah menengah pula. Jadi kami dapat membezakan antara sekolah rendah dan sekolah menengah. Semester ini juga menyaksikan kami akan mengadakan satu program bagi pelajar masalah pembelajaran yang akan diadakan di BTN Kuala Lipis. Nampaknya sireh pulang ke ganggang la kali ni. Sekarang ini kami dalam proses perancangan untuk program berkenaan. Apa yang menjadi masalah sekarang ni adalah tempat berkenaan masih tidak pasti lagi. Walau apa pun ianya tetap berlaku di Pahang

SPIN



Sistem Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Interaktif adalah nama bagi SPIN. Ini merupakan salah satu dari pembelajaran secara online (e-Learning). Melalui sistem ini, pelajar tidak perlu bersusah payah menyalin nota di dalam kuliah kerana pensyarah akan memasukkan kesemua nota kuliah di dalam sistem ini.


Untuk ke sistem ini, pelajar perlu:-

i) Ke laman web http://www.ukm.my/

ii) Klik di e-pelajar

iii) Klik SPIN

iv) Masukkan No. Matrik dan Kata Laluan

Refleksi SKJ6

Rabu (04 March 09)


Awal pagi aku dan 3 lagi rakan bergerak menuju ke SKJ6, Bandar Baru Bangi yang terletak berhampiran dengan kampus aku. Manakala yang lain menaiki kenderaan masing-masing. Jam menunjukkan 830 pagi dan kami berada dihadapan pintu pagar sekolah berkenaan. Ini bukanlah kali pertama aku ke sekolah berkenaan kerana pada minggu lalu aku telah pun ke sekolah berkenaan untuk sesi perbincangan.
Tetapi pada pagi ini, aku akan berkebun. Memang sudah lama aku tidak berkebun..! dan ini adalah yang pertama setelah sekian lama. Dari mencangkul sampailah kepada membuat batas, kesemuanya dilakukan dengan bantuan guru yang lain.
Apa yang tidak aku puas hati adalah pelajar perempuan hanya berada dalam kelas..!! kami berpanas untuk berkebun..mereka boleh bersenang-senang..
Apa yang cukup menyeronokkan aku adalah semua pelajar Pendidikan Khas ringan tulang membantu kami sehinggalah aktiviti berkenaan hampir siap.
Minggu pertama yang agak menarik, dan aku mengharapkan yang lebih lagi pada minggu-minggu yang akan datang.

Program PERMATApintar UKM

BANGI 2 Mac - Jika program Permata Negara memberi tumpuan terhadap pembelajaran bagi kanak- kanak di bawah usia lima tahun, kini satu lagi program - Permata Pintar - iaitu Program Perkhemahan Cuti Sekolah Pelajar-Pelajar Pintar Cerdas akan diadakan Disember ini dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penaung Permata Pintar, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program itu diadakan kerana menyedari kanak-kanak pintar cerdas di negara ini mempunyai keperluan khas dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani yang perlu dipupuk secara holistik untuk memastikan perkembangan mereka berlaku secara optimum.

"Pada pendapat saya, kanak-kanak pintar kita tidak seharusnya tertinggal ke belakang oleh kerana negara-negara lain telah pun memulakan program seperti ini malahan negara seperti Thailand dan Singapura telah pun mengadakan sekolah berasrama penuh untuk kanak-kanak pintar mereka.

"Kalau kita tak mulakan sekarang, saya khuatir kanak-kanak pintar ini akan pergi ke negara-negara lain untuk mendapatkan program-program yang telah pun disediakan oleh negara-negara tersebut.

''Malah sekarang pun dah ramai pergi ke negara jiran, diberi biasiswa dan kerakyatan untuk belajar dan bekerja di sana dan ini merupakan kerugian buat negara," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di UKM, di sini hari ini.

Rosmah berkata, bagi projek perintis yang bernilai RM950,000 ini, seramai 300 pelajar pintar cerdas sahaja akan dipilih, dan dibahagikan kepada dua kumpulan umur iaitu 9 hingga 12 tahun dan 13 hingga 15 tahun.

Beliau berkata, bagi memilih mereka yang layak menjalani program tersebut, tiga ujian saringan yang dikenali sebagai Ujian Permata Pintar UKM1, UKM2 dan UKM3 telah pun dibangunkan oleh Fakulti Pendidikan UKM.

Bagi ujian saringan UKM1, kanak-kanak yang berminat boleh menjalaninya di mana-mana sahaja melalui laman web www.permatapintar.com.my dalam masa dua bulan mulai hari ini.
Mereka yang didapati layak akan dipilih menjalani ujian UKM2 dan UKM3 di pusat-pusat tertentu yang akan diberitahu kelak, katanya.

Rosmah berkata, sepanjang dua minggu program perkhemahan tersebut, para peserta akan disajikan dengan topik-topik yang merangsang minda di bawah tiga mata pelajaran iaitu Sains, Matematik dan Penulisan Kreatif.

Katanya, turut ditawarkan program riadah dan rekreasi bagi meningkatkan kecerdasan serta kebolehan psikomotor dan juga aktiviti-aktiviti kesenian dan sukan.

Beliau berkata, seramai 10 fasilitator akan dihantar menjalani program kem musim panas anjuran Johns Hopkins University di Amerika Syarikat, yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang sama, untuk melatih fasilitator-fasilitator yang bakal terlibat dalam program perkhemahan itu nanti.

Beliau juga berharap program itu dapat diadakan pada setiap tahun dan mungkin akan membuka pintunya kepada kanak-kanak pintar ASEAN di masa depan.

Langkah itu supaya mereka dapat bergaul dari peringkat awal dan memupuk ciri-ciri persefahaman dan hormat-menghormati terhadap budaya dan agama masing-masing.

Rosmah berkata, sebuah kertas kerja bagi menubuhkan Sekolah Permata Pintar UKM juga sedang disediakan dan akan dibentangkan kepada kerajaan secepat mungkin.

Projek yang akan dibangunkan dalam kawasan UKM itu dijangka menelan belanja RM20 juta.
Sebagai permulaan projek itu akan menampung seramai 200 pelajar pintar cerdas Tingkatan 4 dan 5 di mana pelajar-pelajar tersebut akan turut mengambil beberapa kursus universiti itu selain mata pelajaran biasa, katanya. - BERNAMA

Word II

Pada kali ini aku menunjukkan pula bagaimana mahu membuat buku progranm menggunakan Word. Ianya tidaklah sesukar yang aku fikirkan.

Langkah 1: Klik Page Layout>> Custom Margin
Langkah 2: Setelah keluar kotak Page Setup, jadikan ianya berbentuk Booklet.


Langkah 3: Anda sudah mula membuat buku program anda sendiri



Word I

Pada minggu yang lalu, aku telah mempelajari satu lagi Microsof Office iaitu Microsoft Word. Kami diminta untuk menyediakan satu broucher yang berkaitan dengan bidang kami; Pendidikan Islam. Selama ini aku memang tidak pernah membuat broucher apalagi menggunakan Word kerana selama ini aku beranggapan hanya Microsoft Publisher sahaja yang boleh aku gunakan untuk membuat broucher.

Pada kali aku akan berkongsi dengan anda semua bagaimana mahu membuat broucher menggunakan Word.

Langkah 1: klik page layout, kemudian klik pada custom margin.


Langkah 2:Klik pada Landscape supaya kedudukan kertas menjadi melintang,

Langkah 3: Setelah itu, klik columns untuk membahagikan kepada tiga bahagian

Langkah 4: Anda sudah boleh memulakan proses membuat broucher. Akhirnya anda akan mampu tersenyum kerana anda juga mampu menghasilkan broucher anda sendiri.










Refleksi PUSPA

Kali ini aku mahu menceritakan apa refleksi aku sepanjang sebukan aku menjadi 'cikgu' di PUSPA.
PUSPA merupakan Pusat Penjagaan Anak-anak Autisme yang memang terdapat di Fakulti aku. Baiklah..aku akan mulakan dengan minggu yang pertama aku berada di PUSPA.

30 Januari 2009 ( Jumaat)

Merupakan hari pertama aku 'bertugas' di PUSPA. banyak perkara yang masih aku tak tahu. Sesampainya aku di PUSPA, aku tidak tahu mahu melakukan apa. Aku merasa sangat bosan kerana tiada aktiviti yang boleh aku lakukan. Selain itu, hari Jumaat merupakan hari anak-anak ini ke kolam renang.

6 Februari 2009 ( Jumaat)

Kali kedua aku melangkah ke PUSPA, masih tak buat apa-apa..hanya memerhatikan tingkah laku anak-anak yang berada di sini. Aku berada sekejap di PUSPA memandangkan mereka akan ke kolam renang lebih awal dari minggu yang lalu.

13 Februari 2009 ( Jumaat)

Kali ketiga di PUSPA, aku sudah mula boleh 'bergaul' dengan cikgu-cikgu di sini dan petang aku aku ditugaskan menjaga seorang kanak-kanak yang 'boleh tahan' juga la. Bayangkan awalnya aku menemaninya ke bilik air dan dalam bilik air berkenaan, dia bermain air..aku 'mengumpannya' dengan mengajaknya bermain komputer. Apa yang aku lihat kanak-kanak ini mampu menaip dan menyebut huruf dengan baik (ketika aku seumur dengannya, aku tidak boleh menyebut ABC lagi) memang boleh dikagumi kebolehannya yang satu ini. Hari itu aku 'sign out' pukul 5.00 petang.

20 Februari 2009 ( Jumaat)

Kali ini aku 'sign in' lebih awal; pukul 11.30 pagi memandangkan aku ada kerja yang patut aku siapkan di petangnya. Kali ini aku sudah boleh mampu 'bergaul' dengan anak-anak berkenaan. Sesuatu yang agak menyeronokkan, melakukan aktiviti bersama dengan mereka. Apa yang pasti memang lelah aku dibuatnya; memang betul kata pensyarahku menjaga anak-anak sebegini memang memenatkan. Aku yang bertugas cuma 2 jam ini merasa kepenatan, aku tidak dapat membayangkan bagaimana ibu bapa mereka yang sentiasa bersama mereka 24 jam sehari 7 hari seminggu...!!

Aku rasa cukup sekadar ini pengalaman aku selama sebulan berada di PUSPA, semoga aku akan terus 'cinta' dalam bidang ini.

Ratu Cantik:Lambang Keamanan

Sabtu lalu, aku ada menghadiri satu pertandingan debat Bahasa Melayu merebut Piala Pendeta. Tajuk yang diperdebatkan agak menarik perhatianku " Ratu Cantik: Lambang Keamanan". Sebelum aku "membahaskan" apa yang diperkatakan oleh pendebat berkenaan, aku mahu juga menyuarakan pendapat berkenaan dengan isu ini.
Pada aku, apa kaitannya ratu cantik dengan keamanan dunia. Cuba kita lihat sudah berapa kali pertandingan ratu cantik diadakan tetapi keamanan sejagat turut berada dalam keadaan yang membimbangkan. Apakah pertandingan yang mengeksploitasi wanita itu dikatakan sebagai tempat"melahirkan" pengaman-pengaman dunia.
Baiklah..Di sini aku bukan mahu menceritakan tentang ratu cantik berkenaan tetapi mahu menceritakan serba sedikit berkenaan dengan dua orang tokoh yang boleh dianggap sebagai ratu cantik yang cuba untuk mengamankan dunia. Mereka yang di maksudkan adalah Benazir Butto dan Puteri Diana.


Benazir Bhutto (Karachi, 21 Jun 195327 Desember 2007) adalah wanita pertama yang memimpin sebuah negara Islam di zaman pasca-kolonial. Bhutto yang berkarisma itu terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada 1988, namun 20 bulan kemudian ia digulingkan oleh presiden negara itu yang di sokong militan, Ghulam Ishaq Khan yang secara kontroversinya menggunakan Amandemen ke-8 untuk membubarkan parlimen dan memaksa diadakan pemilihan raya umum. Bhutto terpilih kembali pada 1993 namun tiga tahun kemudian diberhentikan kerana skandal rasuah oleh presiden yang berkuasa waktu itu, Farooq Leghari.yang juga menggunakan kekuasaan pertimbangan khusus yang diberikan oleh Amandemen ke-8. Benazir terbunuh pada tanggal 27 Disember 2007 dengan ditembak di bahagian leher oleh seorang pembunuh berani mati. Pembunuhan ini terjadi ketika beliau baru saja meninggalkan Liaquat Nasional Bagh di Rawalpindi dalam rangka kempen pilihanraya beliau di awal tahun 2008.Ia dibawa ke hospital dan meninggal dunia pada hari itu juga.



Diana, Puteri Wales (Diana Frances Lady Diana Spencer; 1 Julai 1961 -31 Ogos 1997) ialah isteri pertama Charles, Putera Wales, anak sulung kepada Ratu Elizabeth II dan juga perwaris takhta kerajaan United Kingdom dan 15 lagi negara di dalam Kerajaan komenwel. Anak-anak beliau, Putera Willian dan Harry masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga di dalam susunan pewarisan takhta tersebut.
Diana menerima pendidikannya di Riddlesworth Hall di Norfolk dan di West Heath Girls' School, di Sevenoaks, Kent, di mana beliau dianggap sebagai seorang pelajar berprestasi rendah. Diana juga telah gagal dalam peperiksaan O-levelnya. Pada 1977, semasa berusia 16 tahun, Diana meninggalkan sekolah West Heath untuk menuntut di Institut Alpin Videmanette di Switzerland, sebuah sekolah yang menitikberatkan pendidikan budaya dan menyediakan pelajar-pelajarnya untuk aktiviti-aktiviti sosial.

Pada 31 Ogos 1997, Diana meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalanga kereta yang dipandu laju di jalan terowong Pont de l'Alma di Paris bersama-sama dengan Dodi Al- Fayed dan pemandu Henry Paul.

Education For All




Hari ini aku ada mengikuti lagi episod II seminar minggu lalu. Pada kali ini pembentangnya adalah seorang lelaki. Beliau pernah menjadi penasihat bagi Kementerian Pendidikan bagi negara Indonesia dan Afghanistan. Itulah serba sedikit yang aku tahun berkenaan dengan latarbelakang beliau.

Minggu ini dibentangkan tajuk yang berkaitan dengan Pendidikan Untuk Semua (EFA) yang mana lebih menjuruskan kepada pelajar berkeperluan khas. Dalam penbentangannya beliau meperkenalkan satu idea iaitu perlunya satu sistem sokongan bagi mencapai EFA ini. Asas sistem ini tentunya tertumpu disekolah, yang mana sekolah berkenaan perlu ada guru pendidikan khas yang mempunyai general knowledge dan tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja. Selain itu, sistem ini juga tertumpu kepada masyarakat dan juga kerajaan kerana kerajaan yang biasanya akan menghulurkan bantuan terutamanya berkenaan dengan kemudahan asas, prasarana dan juga kewangan.

Mengapa kita memerlukan Sistem sokongan ini..??? Ini adalah kerana tanpa sistem ini, kita (baca:pihak yang berkaitan dengan bidang pendidikan khas) tidak akan mapu untuk mencapai Pendidikan Untuk Semua (EFA) ini. Tanpa sistem ini juga, kita tidak akan mampu meningkatkan kualiti pendidikan kanak-kanak yang bekeperluan khas ini. Tanpa sistem ini, kita juga akan terus menafikan hak kanak-kanak untuk diberi pendidikan, penjagaan dan perlindungan. Akhir sekali, tanpa sistem ini, guru tidak mampu untuk menonjolkan ke'profesional'annya dan kejayaannya sebagai seorang guru bagi pelajar-pelajarnya.

Kita di Malaysia ini, walaupun sistem berkenaan seperti tidak ada, namun apa yang kita lihat kerajaan ada menyediakan pelbagai kemudahan kepada sekolah-sekolah berkeperluan khas, memberikan elaun khas kepada guru pendidikan khas serta elaun kepada pelajar berkeperluan khas.


P/S: Ini sahaja yang mampu aku kongsi dengan kalian semua, yang lainnya...aku kurang faham dengan Bahasa Inggeris. That mean I must learn more about English.

Sindrom Latah (hyperstartle syndrome).


REAKSI individu yang melatah adalah pelbagai. Ada yang menari, melompat, mengeluarkan kata-kata kesat, lucah, kotor, meniru aksi orang di sekeliling atau sebagainya. Tingkah laku itu mungkin dianggap satu bentuk hiburan kepada orang lain.

Bahkan, sesebuah majlis perkahwinan atau kenduri kendara seakan-akan hilang serinya tanpa gelagat mereka yang melatah.

Semakin diusik atau disergah, semakin rancak mereka melatah.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang (biasanya wanita) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat.
Ironinya, ramai yang menyangka latah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina.

Penulis buku American Normal: Hyperstartle Syndrome, Lawrene Osborne pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah (hyperstartle syndrome).


Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial.


Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak.

Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori.

“Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut,” jelasnya.

Biasanya, sistem limbik beroperasi apabila terganggu dengan sistem endokrin dan sistem saraf. Ia merupakan sistem kompleks lintasan saraf dan jaringan dalam otak yang melibatkan naluri dan hati.

Namun, Azhar berkata, sindrom melatah pada hari ini semakin berkurangan jika dibandingkan era 30 hingga 40 tahun yang lalu.

Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain.

“Jangan ganggu orang melatah kerana mereka akan keletihan memandangkan segala tindak-tanduk yang dilakukan mereka adalah di luar kawalan,” katanya.


Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh pula, menasihati orang ramai supaya jangan mengganggu atau menyergah orang melatah.

Ini kerana mereka akan mengalami kepenatan sehingga tidak bermaya. “Apabila berada dalam keadaan sedar, kita mampu mengawal pergerakan tetapi tidak ketika melatah,” tambah Dr. Nor Hamidah.


Pembelajaran Teknologi Inovasi

Pada minggu lalu aku baru sahaja mempelajari sesuatu yang baru; berkenaan dengan Microsoft Power Point dan Excel (Baca:bukan selama ini aku tak tahu langsung). Di dalam kelas Teknologi dan Inovasi kami diarahkan untuk menyiapkan dua tugasan ini dan pensyarah hanya akan menunjukkan cara melakukannya hanya sekali (Baca: Hanya Sekali), pastu nasib korang la kalau tak faham.



Barulah aku rupanya Power Point ini bukan sekadar buat dan present, tapi banyak lagi apa yang aku tak tahu berkenaan dengan Power Point ni. Nasib baiklah sebelum ini, aku memang ada pengetahuan serba sedikit berkenaan dengan Power Point (memang betul orang kata; semakin banyak kita belajar rupanya semakin banyak yang kita tak tahu), jadi tidak sukarlah untuk aku melakukan tugasan yang diberikan. Apa yang baru bagi aku ialah sekarang ini aku sudah tahu macam mana nak buat HyperLink. HyperLink digunakan apabila kita mahu menghubung satu slaid dengan satu slaid yang lain, proses untuk membuat HyperLink ini agak mudah tetapi memerlukan penelitian.


Langkah 1: klik Insert>>Hyperlink>>Place in this document

Langkah 2:Klik pada slide yang dikehendaki>>klik Ok



Yang kedua pula berkenaan dengan Microsoft Excel yang memang jarang aku gunakan selama ini. Tugasan kedua ini memberi lembaran baru dalam hidup aku kerana tidak pernah sepanjang hayat aku, aku menggunakan Excel (huhuhu...), namun bukan bermaksud bukan aku tidak tahu langsung berkenaan dengan Excel. Sebenarnya tugasan yang berkaitan dengan statistik, pengiraan, membuat graf adalah lebih mudah apabila kita menggunakan Excel, terutamanya apabila kita yang bakal guru ni menjadi guru kelas atau Panatia.


Seingat aku, aku pernah menggunakan Excel (abaikan statement yang aku bagi tadi) ketika aku praktikal. Disebabkan aku tidak tahu sangat berkenaan dengan Excel ni, aku di'anjing'kan oleh staf yang lama disitu " masuk U pun takkan tak tau Excel "kenyataan yang menyebabkan aku tersentap seketika. Mulai dari itu aku mula belajar menggunakan Excel melalui seorang ustaz di situ. Cuma sekarang ini, disebabkan sudah lama aku tidak menggunakannya, aku menjadi 'ingat-ingat lupa" menggunakannya.


Untuk itu, aku akan menunjukkan bagaimana mahu meng'gred'kan markah.

Langkah 1: klik Formulas>>Insert Function>>Vlookup>>OK


Langkah 2: Kemudian select gred bagi Lookup_value>>markah bagi Table Array, no.2 bagi col Index dan TRUE bagi Range_lookup.



Dan sekarang ini, aku diminta membuat pemplet dan Booklet menggunakan Word pula. Apa pun selamat berjaya kepada aku.

Nama Aku

Aku rasa sudah lama aku menulis di sini, tetapi aku masih belum memperkenalkan diri aku lagi. Baik..!! Nama aku Junaidon b. Abdul Majid berasal dari Kuala Lipis Pahang dan sekarang aku menyambung pelajaranku di Universiti Kebangsaan Malaysia...Errmm...tak nampak macam ilmiah pun entri aku kali ni. Apa kata aku cuba mengaitkan dengan apa yang aku telah belajar semasa zaman sekolah dulu.

Ini disebabkan ada seseorang yang bertanyakan kepada aku tentang maksud namaku..errmm..semua orang juga bertanyakan benda yang sama…Apakah namaku nampak macam pelik sangat….??Dalam banyak orang yang aku temui hanya dua orang sahaja yang mampu me’maksud’kan dengan betul namaku ku ini…Yang mana kedua-duanya adalah guru bahasa Arab..

Sebelum aku me’maksud’kannya..aku mahu tunjukkan bagaimana namaku membawa makna yang sebegitu dan kenapa pula perkataannya berbunyi begitu (berapa banyak begitu daaaaa).

Di dalam Sarf (Nahw dan Sarf) subjek Bahasa Arab ada satu tajuk yang membincangkan tentang perkara ini di bawah tajuk bab al-Tasghir (kecil).Di dalam bab ini diceritakan dengan terperinci bagaimana sesuatu perkataan itu boleh membawa makna perkataan yang lain. Selain itu wazan yang digunakan adalah Fuu’ailun dan setiap perkataan mestilah berdasarkan wazan tersebut. Contoh perkataan Kuttab (Penulis), apabila diletakkan di bawah wazan ini, maka ianya akan menjadi kuutaibun (Penulis kecil).

Jadi aku adalah berasal dari perkataan Jundiyyun (tentera) kemudian telah di tasghirkan di bawah wazan Fuu’ailun , maka ianya menjadi Juunaidun (Tentera kecil). Jadi maksud namaku itulah dia…

Ceritaku

Di sini aku mahu menceritakan sedikit pengalaman aku berhadapan dengan murid yang berkeperluan khas.
Kisah pertama ini ketika aku masih di sekolah rendah. Aku darjah lima dan murid berkenaan darjah Enam. Miskipun sudah darjah Enam, namun murid berkenaan tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, selalu menjadi bahan ejekan murid-murid yang lain, dan guru-guru hanya membiarkan murid ini merayau di sekitar sekolah tanpa ada perhatian yang khusus. Saban hari aku melihat murid ini membawa buku tulisnya, dengan keadaan yang tidak terurus, dengan air liur yang meleleh merayau dari satu kelas ke kelas yang lain. Aku hanya mampu kasihan melihat keadaannya, apalah daya aku ketika itu. Hari ini, murid berkenaan sudah berusia hampir 24 tahun dan masih masih bergantung harap pada bapanya. Siapakah yang akan menjaganya apabila orang tuanya sudah tiada kelak?. Mungkin ibu bapanya tiada pegetahuan khusus berkenaan dengan keadaan anaknya dan terus menghantar ke sekolah biasa. Hasilnya, anak mereka tidak mampu untuk bersaing dengan kanak-kanak tipikal yang lain.
Kisah kedua ini berkenaan dengan kanak-kanak Sindrom Down yang aku temui ketika satu majlis cukur jambul di kampungku. Anak seorang pensyarah dan tinggal di daerah yag berhampiran dengan daerahku. Apa yang aku lihat, kanak-kanak berkenaan begitu mesra dengan orang yang dikenalinya, dan dia mampu untuk mengecam orang yang pernah dia kenali; suatu yang hebat aku temui, sedang aku sendiri tidak mampu untuk mengecam orang yang pernah aku bertemu. Walaupun bicaranya nampak pelat tapi aku masih boleh memahaminya. Apa yang aku hairankan bagaimana kanak-kanak seperti ini begitu mudah mesra dengan orang lain. Persoalan yang tidak mampu aku jawab hingga kini.
P/S: Nama dan alamat sebenar tidak dapat disiarkan atas faktor tertentu.

Kesimpulan

Hari ini aku ada mengikuti satu seminar berkenaan dengan bidangku; pendidikan Khas di Fakulti. Aku rasa agak banyak maklumat yang aku dapat walaupun aku ni bukanlah faham sangat Bahasa Inggeris(sebab yang bentang tu Prof dari Norway)
Di sini, aku ingin berkongsi dapatan yang diperoleh sepanjang aku berada di dalam seminar berkenaan.
i) Bagi murid berkeperluan Khas, seorang guru itu harus mempunyai kaedah pengajaran yang aktif, seperti bermain, hand-on dsbg mengikut kekreatifan guru berkenaan.
ii) Untuk menukar kaeadah pengajaran , seorang guru harus tahu apa yang mahu ditukar dan di bahagian mana seseorang pelajar itu lemah.
iii) Oleh itu, untuk menguji apa kelemahan pelajar, seorang guru harus mengadakan ujian untuk mengenalpasti apa kelemahan pelajar.
iv) Pembelajaran seseorang pelajar terganggu akibat daripada faktor persekitaran, sosial, dan mungkin juga disebabkan oleh faktor politik.
v) Beliau berpendapat sekolah adalah sebagai tempat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi fizikal, sosial, emosi dan intelek.
Aku rasa ini sahaja yang dapat aku kutip sepanjang berada dalam seminar berkenaaan. Apa yang menarik, pada sesi soal jawab ada peserta yang bertanya berkenaaan PPSMI dan beliau mengatakan bahawa beliau tidak setuju kerana menurut beliau "mother tounge is very important" kerana seandainya pelajar tidak memahami bahasa Inggeris, maka sukar juga untuk memahami subjek berkenaan. Aku pula berpendapat, walau bahasa apa sekalipun yang digunakan, masing-masing ada yang menyokong dan ada yang membantah kerana ada kelemahan dan kebaikan yang tersendiri. Namun seminar berkenaan berakhir dengan jayanya walaupun terdapat beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Apa yang pasti inilah kali pertama aku berada dalam seminar yang keseluruhan pembantangannya dalam Bahasa Inggeris

Cita-cita

Menjadi seorang guru, bukan cita-cita asal aku sebab bukan mudah mahu menjadi seorang guru. Ibn A'lan menyatakan untuk menjadi seorang guru, seseorang itu perlu tahan sabar dalam mendidik dan mempunyai azam yang tinggi. Al-Nawawi pula mengatakan bahawa seorang guru itu perlu ada keazaman tinggi dan bijaksana, berhadapan dengan jihad, sanggup bersusah-payah dalam menegakkan agama serta mencintai ibadat dan menjaganya (GGGE5014)



Tapi kalau melihatkan kepada aku, nampaknya aku kena berusaha keraslah untuk mencapai kualiti yang dikehendaki. Maklumlah, selama ni bukannya bercita-cita nak jadi guru sangat (huhuhu..). Tapi kalau dah takdir Allah menentukan kita menjadi guru, memang akan jadilah. Allah berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya apa yang telah ditentukan Allah kepadamu, nescaya kamu tidak akan mampu untuk menolaknya"

Menjadi seorang guru bukan mudah, kajian pada tahun 2003 menunjukkan bahawa kebanyakan guru tidak kreatif dalam menyampaikan pengajaran, terlalu menggunakan buku teks dan kurang menggunakan pendekatan yang baru seperti kaedah lawatan dan sebagainya. Bagu subjek Pendidikan Islam pula, guru kurang memberi penglibatan murid, banyak berpusatkan guru, dan menggunakan kaedah tradisional dalam pengajaran Al-Quran, Hadis, Akidah dll. Justeru macam mana aku nak jadi guru, aku ni bukannya kreatif sangat, tapi boleh la.

Sekarang ini, aku rasa semangat mahu menjadi guru tu makin bertambah(errmmm..)disebabkan saban hari membincangkan hal-hal berkaitan pendidikan. Nampaknya aku kena lebih berusaha lagi mencapai cita-cita aku menjadi seorang penulis buku teks( memang sudah lama aku mengidamkan mahu menjadi penulis buku teks). Semoga dengan cara ini, aku bisa mengembangkan ilmu yang ada padaku.

KESEMPATAN

Cuti Tahun Baru Cina aku balik ke kampung. Cuti tak lama...sekangkang kera je cuti nya(2 ari). Apa yang penting, pengisiannya..kan??Aku balik kampung hari Ahad dan pulang ke sini hari Selasa. Sampai ke kampung , hujan turun mencurah-curah menyambut kepulanganku. Kata orang, menjelang Tahun Baru Cina mesti hujan dulu (betul ke tidak aku tak tahu la).


Hari Isnin, aku berusaha menyiapkan surat perjanjian. Alhamdulillah...semuanya dah selesai sekarang. Pada petang itu aku menghadiri satu majlis pertunangan sepupuku dan aku bersama dengan rombongan pihak lelaki( inilah yang pertama bagi aku) dan apa yang pasti upacara merisik dan bertunang memang amat membosankan...!!.


Sebenarnya aku punya kerja untuk dibuat; menyoal kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun dan murid-murid darjah satu. Aku dah tak tahu nak pinjam anak siapa lagi sebab kebanyakan penduduk kampungku tiada yang ber'anak' kecil. Nasib petang itu, sepupuku yang tinggal di Bentong datang kerumahku. Aku mengambil kesempatan itu untuk meminjam anaknya untuk dijadikan bahan ujikajiku...hehehe.


Apa yang pasti aku memang tension nak menemubual budak ni...banyak soal pula tu..!!kalau tak kerana Umminya ada sekali, memang kena dengan aku.


Proses pengujian itu berlaku selama beberapa ketika dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kesimpulan yang boleh aku buat berdasarkan ujian yang dilakukan tadi ialah anak sepupuku ini sukar untuk menyebut perkataan yang mempunyai KKV sperti SKRU, STRAW, SKRIP serta bunyi VOKAL I contohnya LI disebut sebagai LAI(dah macam anak orang putih dah ni). Apa pun kemahiran membaca masih ditahap sederhana.


Baru aku tahu, rupanya sukar juga nak mengajar kanak-kanak yang sebegini. Mungkin ini baru langkah awal yang perlu aku hadapi sebelum aku menghadapi keadaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Ucaplah....

Saya seringkali kemana-mana dengan menaiki bas, maklumlah nak bawa moto tak ada lesen, jadi kena la naik bas. Apa yang saya nak kongsi disini bukan tentang saya naik bas tapi berkenaan dengan segelintir penumpang bas.


Mereka ini dahlah nak naik bas pun berebut-rebut, bila nak turun sepatah "Terima Kasih" pun payah dah ucapkan kepada pemandu bas tu. Inilah yang menunjukkan sikap kita bagaimana. Walaupun, perkara itu nampak seperti remeh tetapi sebenatnya membawa makna yang besar kepada orang yang menerimanya. Ucapan terima kasih sebenarnya bermaksud kita menghargai orang yang membantu kita.


Sebenarnya saya ada kisah yang hendak dikongsikan bersama. Pada semester pertama bagi sessi 2006/2007 yang lalu, saya ada mengikuti satu rombongan sambil belajar ke HUKM yang dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah. Untuk ke sana kami menaiki bas yang disediakan, akan tetapi bas berkenaan lewat dari yang dijadualkan. Ada sebahagian pelajar yang marah-marah kepada pemandu bas berkenaan.


Apabila kami mula duduk dalam bas berkenaan, pemandu bas berkenaan mula 'berceramah' kepada kami berkenaan dengan sikap sebahagian pelajar yang menaiki bas. Dia mula bercerita bahawa tidak ramai dikalangan pelajar yang prihatin terhadap pemandu bas. Dia mengatakan ada di kalangan yang menaiki bas bersikap 'kurang ajar' terhadap pemandu. Memang sukar untuk mencari seorang yang berbudi bahasa, katanya. Saya yang sememangnya berada betul-betul dibelakang pemandu berkenaan hanya diam membisu. Memang apa yang dikatakan oleh pemandu berkenaan ada benarnya.

Kebanyakan dari kita hanya tahu meminta tetapi tidak tahu berterima kasih. Begitulah juga sifat sebahagian manusia yang hanya tahu meminta dari Allah apabila di dalam kesusahan akan tetapi seakan-akan melupakan Allah apabila telah memperoleh apa yang diinginkan, sedangkan Allah tidak pernah walau sekalipun melupakan kita.


Pendidikan Khas

Bidang pendidikan Khas merupakan satu bidang yang mencabar dalam profession perguruan di Malaysia. Tidak ramai di kalangan guru-guru yang sanggup untuk berhadapan dengan cabaran ini. Walaubagaimanapun, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif dengan memberikan elaun khas kepada guru-guru yang sanggup berkorban untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada pelajar yang berkeperluan khas.
Oleh itu, satu Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas diwujudkan bagi menghargai jasa guru-guru berkenaan. Anugerah ini bertujuan untuk menggalakkan ramai lagi yang berkecimpung dalam bidang ini. Selain itu, anugerah ini adalah untuk menggalakkan guru-guru berkenaan lebih kreatif dan inovatif.
Ini juga merupakan satu pengiktirafan dari kementerian yang menyedari bahawa tugas ini bukan sesuatu yang mudah kerana bukan hanya mengajar melalui membaca buku akan tetapi perlu pelbagai pengalaman dan ini menjadikan guru Pendidikan Khas lebih istimewa berbanding dengan guru-guru yang mengajar pelajar yang tipikal.
Selain itu, bukan sesuatu yang mudah untuk mengajar pelajar yang berkeperluan khas kerana mereka menghadapi pelbagai masalah selain masalah yang dihadapi. Oleh itu, apakah salahnya kita yang sememangnya diberi kelebihan oleh Allah ini, untuk membantu mereka yang sebegini.
P/S: Segala yang diciptakanNya adalah untuk manusia memikirkannya..

Mukadimah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua


Ini kali pertama selepas blog yang pertama telah ter 'delete' dengan tidak sengaja. Oleh itu, teruskan bersama saya.

Jumpa lagi....