Di sini aku mahu menceritakan sedikit pengalaman aku berhadapan dengan murid yang berkeperluan khas.
Kisah pertama ini ketika aku masih di sekolah rendah. Aku darjah lima dan murid berkenaan darjah Enam. Miskipun sudah darjah Enam, namun murid berkenaan tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, selalu menjadi bahan ejekan murid-murid yang lain, dan guru-guru hanya membiarkan murid ini merayau di sekitar sekolah tanpa ada perhatian yang khusus. Saban hari aku melihat murid ini membawa buku tulisnya, dengan keadaan yang tidak terurus, dengan air liur yang meleleh merayau dari satu kelas ke kelas yang lain. Aku hanya mampu kasihan melihat keadaannya, apalah daya aku ketika itu. Hari ini, murid berkenaan sudah berusia hampir 24 tahun dan masih masih bergantung harap pada bapanya. Siapakah yang akan menjaganya apabila orang tuanya sudah tiada kelak?. Mungkin ibu bapanya tiada pegetahuan khusus berkenaan dengan keadaan anaknya dan terus menghantar ke sekolah biasa. Hasilnya, anak mereka tidak mampu untuk bersaing dengan kanak-kanak tipikal yang lain.
Kisah kedua ini berkenaan dengan kanak-kanak Sindrom Down yang aku temui ketika satu majlis cukur jambul di kampungku. Anak seorang pensyarah dan tinggal di daerah yag berhampiran dengan daerahku. Apa yang aku lihat, kanak-kanak berkenaan begitu mesra dengan orang yang dikenalinya, dan dia mampu untuk mengecam orang yang pernah dia kenali; suatu yang hebat aku temui, sedang aku sendiri tidak mampu untuk mengecam orang yang pernah aku bertemu. Walaupun bicaranya nampak pelat tapi aku masih boleh memahaminya. Apa yang aku hairankan bagaimana kanak-kanak seperti ini begitu mudah mesra dengan orang lain. Persoalan yang tidak mampu aku jawab hingga kini.
P/S: Nama dan alamat sebenar tidak dapat disiarkan atas faktor tertentu.