Saya seringkali kemana-mana dengan menaiki bas, maklumlah nak bawa moto tak ada lesen, jadi kena la naik bas. Apa yang saya nak kongsi disini bukan tentang saya naik bas tapi berkenaan dengan segelintir penumpang bas.


Mereka ini dahlah nak naik bas pun berebut-rebut, bila nak turun sepatah "Terima Kasih" pun payah dah ucapkan kepada pemandu bas tu. Inilah yang menunjukkan sikap kita bagaimana. Walaupun, perkara itu nampak seperti remeh tetapi sebenatnya membawa makna yang besar kepada orang yang menerimanya. Ucapan terima kasih sebenarnya bermaksud kita menghargai orang yang membantu kita.


Sebenarnya saya ada kisah yang hendak dikongsikan bersama. Pada semester pertama bagi sessi 2006/2007 yang lalu, saya ada mengikuti satu rombongan sambil belajar ke HUKM yang dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah. Untuk ke sana kami menaiki bas yang disediakan, akan tetapi bas berkenaan lewat dari yang dijadualkan. Ada sebahagian pelajar yang marah-marah kepada pemandu bas berkenaan.


Apabila kami mula duduk dalam bas berkenaan, pemandu bas berkenaan mula 'berceramah' kepada kami berkenaan dengan sikap sebahagian pelajar yang menaiki bas. Dia mula bercerita bahawa tidak ramai dikalangan pelajar yang prihatin terhadap pemandu bas. Dia mengatakan ada di kalangan yang menaiki bas bersikap 'kurang ajar' terhadap pemandu. Memang sukar untuk mencari seorang yang berbudi bahasa, katanya. Saya yang sememangnya berada betul-betul dibelakang pemandu berkenaan hanya diam membisu. Memang apa yang dikatakan oleh pemandu berkenaan ada benarnya.

Kebanyakan dari kita hanya tahu meminta tetapi tidak tahu berterima kasih. Begitulah juga sifat sebahagian manusia yang hanya tahu meminta dari Allah apabila di dalam kesusahan akan tetapi seakan-akan melupakan Allah apabila telah memperoleh apa yang diinginkan, sedangkan Allah tidak pernah walau sekalipun melupakan kita.